BEBERAPA BAHAYA DAN RISIKO PERKAHWINAN DI ANTARA
UMAT BUKAN-ISLAM DAN ISLAM HARI INI - APAKAH YANG HARUS KITA LAKUKAN?

 

 

    Selama ini terdapat begitu banyak jumlah wanita-wanita yang telah saya dimaklumkan berkahwin dengan lelaki-lelaki Muslim (dan juga lelaki bukan-Islam menikah dengan wanita Islam), dan saya juga mengetahui banyak kes-kes menyedihkan dengan terjadinya peristiwa-peristiwa tragis yang telah menyusul di dalam kehidupan pasangan seperti ini. Itulah sebabnya saya mengkaryakan makalah ini. Saya berharap ia dapat dibaca dan ditelaah sedalam-dalamnya oleh para wanita (dan juga lelaki) bukan-Islam yang sedang mempertimbangkan pernikahan dengan seorang Muslim atau untuk memeluk agama Islam atau kedua-duanya sekali, agar makalah ini dapat menimbulkan kesangsian dan kemusykilan di dalam diri mereka dan menyebabkan mereka memikirkan kembali hasrat tersebut, berdasarkan kepada fakta-fakta yang penting.

 

     Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini saya telah juga banyak berbincang dengan gadis-gadis yang telah menikah dengan orang-orang Muslim dan saya tanyakan  mereka apakah tindakan wajar yang harus kita lakukan atau yang mungkin boleh menghentikan tindakan mereka atau mengubah fikiran mereka. Setiap seorang dari mereka telah memberitahu saya, kononnya 'tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan' oleh sesiapa pun kerana mereka sudah begitu dilanda dan dilamun kegilaan jatuh cinta sehingga mereka sudah menjadi buta kepada apa juga risiko dan tanda-tanda amaran bahaya yang akan menyusul kemudiannya! Mereka telah terjerumus ke dalam perangkap ini yang telah mejeratkan mereka secara perlahan-lahan! Begitu malang sekali!

 

Jadi apakah ibubapa, sanak-saudara, sahabat handai dan pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli gereja boleh dan harus lakukan untuk membantu seorang wanita (atau lelaki) Kristian yang sedang merancang untuk berkahwin dengan seorang Muslim?

 

1.  Yang pertama boleh dilakukan ialah untuk menjalin hubungan yang rapat dengan orang yang dalam keadaan itu dan menjadi pendengar yang baik.
Untuk ibubapa ini adalah sangat penting, terutama sekali jika anda tidak senang dengan hubungan atau tindakan-tindakan puteri atau putera anda. Apa yang anda harus lakukan ialah untuk berdiri di samping mereka dan menyayangi serta mengambil berat terhadap mereka. Apa juga tanda-tanda penentangan atau kritikan dari anda ada potensi membuat mereka lebih keras hati untuk meneruskan rancangan dan perhubungan mereka. Ambillah sikap terbuka dan mintalah mereka meluahkan perasaan-perasaan mereka yang sebenar tentang keadaan itu, kerana biasanya mesti terdapat beberapa keraguan di dalam hati mereka. Jemputlah teman lelaki (atau perempuan) atau tunang mereka ke rumah anda untuk beramah-mesra seperti makan bersama-sama, jadilah teman kepadanya dan cuba untuk mempengaruhinya. Jangan menahan diri dari bercakap mengenai kepercayaan agama anda.

 

2. Ramai wanita dan lelaki bukan-Islam memeluk Islam dalam keadaan jahil tentang Islam. Bantulah mereka memahami Islam dan budaya Islam, agar mereka boleh menjadi orang yang bermaklumat dan berhemah sebanyak mungkin apabila mereka perlu membuat keputusan nanti. Para pemimpin gereja, panatua-panatua (elders) dan ketua-ketua gereja yang lain hendaklah mendidik jemaat-jemaat mereka tentang bagaimana memahami Islam dan implikasi-implikasi keseluruhan yang timbul akibat memeluk agama itu, termasuk bagaimana untuk menangani implikasi-implikasi tersebut.

 

3. Berilah galakan kepada pasangan itu untuk memanjangkan proses pertunangan mereka untuk masa yang lebih lama lagi daripada mengurangkan masa pertunangan itu atau berkahwin dengan secepat-cepatnya.

 

4.  Untuk wanita-wanita bukan-Islam yang mengahwini lelaki-lelaki Muslim, adalah lebih bermanfaat bagi mereka (wanita-wanita ini) untuk menandatangani perjanjian pra-pernikahan terlebih dahulu. Ini akan membolehkan seorang wanita itu mendapat bahagiannya dan syer dari aset-aset (harta-benda dan warisan) sekiranya berlaku perceraian. Kita telah melihat bahawa walau di Barat pun ramai wanita mengahwini orang-orang Muslim hanya dengan upacara agama di masjid (tanpa mendaftar perkahwinan itu mengikut undang-undang sivil) maka apabila terjadi penceraian wanita itu akan tertakluk kepada hukum Syariah dan perkahwinan itu akan dianggap hanya sebagai satu kes bersekedudukan. Para peguam juga sering mengeluarkan wasiat mengikut hukum syariah untuk lelaki-lelaki Muslim di mana pihak wanita mendapat hanya sebahagian kecil daripada aset-ase atau hartat suami-isteri. Bagi wanita-wanita yang berada di luar negara-negara Barat, adalah juga perlu menandatangani perjanjian pra-perkahwinan untuk memastikan hak mengambil anak jika berlaku perceraian. Perjanjian-perjanjian pra-pernikahan (pre-nuptial agreement)  kini sudah menjadi amalan yang biasa di banyak negara di dunia.

 

5. Lebih daripada segala-galanya; “berdoalah tanpa berhenti” dan dapatkan sahabat handai untuk sama-sama berdoa. Serahkanlah keadaan itu kepada doa syafaat. Doakan Kuasa Tuhan akan bekerja di dalam keadaan seperti itu.

 

Menimbulkan Isu-isu Kerohanian Setelah Seseorang Menjadi Muslim


Di dunia barat, kita sering keraguan untuk bercakap secara terbuka mengenai kepercayaan agama kita. Dan sudah menjadi “peraturan kesopanan” agar orang jangan sekali-kali menimbulkan dua perkara, iaitu agama dan politik. Keadaan ini tidak berlaku di luar dunia barat, lebih-lebih lagi di dalam budaya Islam. Di dunia Islam adalah menjadi kebiasaan untuk berbincang mengenai perkara-perkara kerohanian, malah adalah dianggap tidak normal jika perkara seperti ini tidak ditimbulkan. Kehidupan harian dan agama begitu berkait rapat sehingga bagi seorang Muslim pemisahan antara dua perkara ini tidak mungkin berlaku. Oleh itu seorang Muslim akan tanpa segan bercakap mengenai kepercayaannya secara terbuka dan dia juga menyangka kita umat Kristian mempunyai keterbukaan yang sama. Sebagai orang Kristian, janganlah segan untuk berbual-bual atau berbincang mengenai kepercayaan Kristian dengan saudara-saudara Islam kita; tetapi kita hendaklah sentiasa berbuat demikian dengan kearifan dan sedar akan reaksi mereka mengenai beberapa ajaran-ajaran yang mungkin mereka kurang faham atau sudah salah-faham, selama ini.

 

     Bolehkah kita bertanya orang Islam tentang kepercayaan mereka? Tentu sekali boleh! Kita boleh menanyakan soalan-soalan mengenai kepercayaan mereka dan lain-lain aspek agama Islam. Selalunya adalah lebih bermanfaat bagi kedua-dua pihak untuk menghindarkan daripada berdebat mengenai teologi dan akidah kerana ini boleh membawa kepada kekusutan; contohnya boleh timbul pertelagahan untuk mendebatkan hal-hal Tritunggal atau kerasulan Muhammad. Perkara yang boleh berbicara dengan hati orang ialah perkongsian kesaksian peribadi kita atau jawapan-jawapan doa yang telah dikabulkan Tuhan kepada doa-doa kita. Hadiahkanlah kepada mereka senashkah Perjanjian Baru (PB) (kerana ramai sekali umat Islam hari ini tidak pernah membaca mahu pun menelaah kandungan Kitab Suci Injil atau PB itu!)) dan doakan agar Tuhan akan mencelikkan hati dan minda mereka.

 

Wajah Islam yang Tersembunyi

 

Terdapat banyak wajah agama Islam. Terdapat Islam tradisional yang menjelaskan persoalan-persoalan mengenai kehidupan, kematian, neraka, alam abadi, orang percaya dan orang tidak percaya. Inilah Islam yang kita sudah sedia kenali. Di samping ini terdapat satu Islam yang popular, atau pun penampilan Islam yang menjadi cara hidup, yang sering dipanggil “Islam rakyat desa” (folk Islam). Ia juga boleh diandaikan sebagai 'Islam kehidupan harian untuk orang-orang biasa'.

 

     Islam mungkin adalah sesuatu agama yang aneh dan rumit untuk difahami orang-orang barat, kerana ia melibatkan suatu alam yang penuh dengan makhluk-makhluk dan kuasa-kuasa jin-jin, roh dsbnya. Ia juga melibatkan para dukun/bomoh (orang-orang 'berilmu'), tangkal-tangkal dan azimat, sumpahan dan kutukan-kutukan, jin-jin (yang 'baik' dan yang 'jahat'), malaikat-malaikat dan kuasa-kuasa roh yang menjadi sebahagian dari kehidupan sehari-hari umat Islam. Terdapat amalan sejak zaman lampau, sehingga ke hari ini pun di mana sembahyang-sembahyang Jumaat di beberapa masjid menyelitkan doa-doa untuk mengutuk dan menghujat umat Yahudi dan Kristian. Jika seorang isteri Muslim tidak mahu suaminya mengahwini seorang isteri yang kedua dia akan pergi berjumpa dengan seorang pir/alim untuk memintanya agar membacakan kutukan untuk menghalang hasrat suaminya itu. Di Timur kota London terdapat iklan-iklan di akhbar-akhbar dan juga risalah-risalah yang dimasukkan ke dalam kotak-kotak surat yang menawarkan untuk menyelesaikan masalah-masalah harian dengan cara meletakkan kutukan dan sumpahan terhadap seseorang, dengan bayaran upah.

 

     Dunia Islam adalah dunia yang berbeza, satu dunia di mana kuasa-kuasa jahat adalah satu realiti. Satu dari kuasa ini ialah mata jahat ('the evil eye of Fatima'), kuasa yang orang-orang Muslim percayai boleh menghancurkan kehidupan orang. Konsep asas mata jahat ini datang dari kepercayaan bahawa setiap sesuatu yang berharga itu, sama ada ia orang atau benda, adalah sentiasa dapat dilukai atau dirosakkan oleh perasaan irihati orang lain. Rasa irihati ini dipancarkan dengan memandang kepada orang atau benda tersebut, maka sebab itu ia dipanggil mata jahat. Ini adalah kuasa yang membawa kesan yang berat terhadap kehidupan orang.

 

     Dalam satu acara perjumpaan kami, seorang wanita bernama Joan telah memohon kebenaran dari saya untuk menceritakan kisah luarbiasa mengenai sahabatnya yang bernama Barbara. Sahabatnya itu adalah seorang Kristian yang kuat imannya dan mempunyai pegangan akidah yang mantap, dan pernah menjadi seorang pemimpin di dalam Persekutuan Kristian (Christian Union) sewaktu dia di universiti. Selepas universiti dia telah bertemu dengan seorang lelaki Muslim yang pernah menjadi pelajar sekelas dengannya di sekolah. Selepas tempoh percintaan yang singkat, mereka telah berkahwin. Barbara telah mendirikan rumahtangga hanya lapan bulan apabila di satu pagi dia terjaga dengan tiba-tiba, terkejut bangun oleh fikiran yang dipenuhi ketakutan, “Apakah yang telah kulakukan?” Katanya dia merasa seolah-olah sesuatu telah jatuh dari atas tubuhnya dan ketika itu dia kembali kepada dirinya yang asal, orang yang menjadi dirinya sebelum ia berkahwin. Dia percaya bahawa terdapat satu kuasa iblis atau kongkongan sihir yang menghambat hidupnya. Kuasa ini telah tiba-tiba terpecah dan fikirannya ketika itu sudah terang dan satu belenggu telah jatuh dari dirinya. Hari itu juga dia mengemas barang-barangnya ke dalam beg, meninggalkan suami Muslimnya dan bercerai daripadanya.

 

     Satu daripada tindakan-tindakan yang pertama dilakukan oleh Muhammad ialah memecahkan salib-salib. Di beberapa negara Islam hari ini salib tidak dibenarkan di gereja-gereja dan kita sering mendengar bagaimana salib menyebabkan rasa tersinggung dan marah di kalangan orang Islam. Orang-orang Muslim percaya bahawa Isa (Yesus) akan datang kali yang kedua, tetapi mereka percaya Dia akan datang sebagai seorang Muslim dan satu daripada tindakan-tindakan pertama-Nya nanti ialah untuk membinasakan semua salib. Islam menafikan ajaran akidah yang sangat central dan penting kepada keimanan Kristian termasuk kewafatan Isa. di kayu salib, kebangkitan-Nya semula, keilahian-Nya, dan bahawa Dia adalah Putera Allah, yang semuanya dianggap sebagai kufur oleh Islam.

    

Bagaimanakah Kita Mendoakan?

 

Mengenai doa, kita harus menyedari bahawa kita berada dalam satu pertembungan rohaniah yang cukup hebat, dan perlu  dalam doa selalu menurut keperluan keadaan ini. Dalam  Efesus 6:12 kita membaca “Kerana pergumulan kita bukanlah menentang darah dan daging tetapi menentang pemerintah-pemerintah, menentang pihak-pihak berkuasa, menentang  kuasa-kuasa duniawi yang gelap ini dan menentang kuasa-kuasa roh jahat di dalam alam roh.”

 

     Kita perlu mengasihi dan mengambil berat tentang orang-orang Islam dan menyampaikan utusan Injil dengan mereka. Tetapi kita juga perlu menyedari pelbagai implikasi yang mungkin sekali akan menyusul apabila kita mempunyai hubungan yang rapat dengan agama Islam. Kita boleh menjadi terikat kepada Islam bila kita memasukinya dan lepas itu kita tidak lagi berupaya melihat Kristus. Mata mereka menjadi tertutup kepada isu-isu kerohanian. Islam adalah satu agama yang teratur, tetapi terdapat kuasa-kuasa roh yang bekerja di sebaliknya, dan kuasa-kuasa ini bukanlah kuasa-kuasa yang neutral (berkecuali) tetapi mereka berusaha secara aktif untuk menentang dan menghancurkan agama Kristian dan perkembangannya. Kita boleh lihat ini berlaku dalam penindasan-penindasan terhadap gereja di dunia Islam. Apabila seorang Kristian tampil menentang kuasa-kuasa kegelapan ini, itu tidak lain dan tidak bukan satu pertembungan rohaniah di antara Al-Masih dan Syaitan.

 

     Jika kita mahu mencapai penembusan di dalam kehidupan mereka-mereka ini yang kita kasihi itu, mereka yang sedang menimbangkan untuk menukar agama kepada Islam, kita perlu menggunakan doa, sembahyang syafaat dan perjuangan rohani, supaya kita mencapai pelepasan besar apabila bergumul dengan kuasa-kuasa gelap yang masih menghambat mereka. Kerana kerja Al-Masih yang telah selesai dan sudah beres di atas kayu salib, kita telah pun diberikan kuasa, hak dan otoriti ke atas kuasa-kuasa kegelapan. Kita perlu berdoa atas nama Sayidina Isa dan dengan kuasa darah Baginda yang tercurah agar kuasa-kuasa jahat dapat ditolak dan orang yang terikat dapat dilepaskan. Di dalam Zechariah 4:6 firman Allah berbunyi “‘Bukan dengan kekuatan, bukan dengan kuasa tetapi dengan Roh-Ku’ menyatakan Tuhan”.

 

Kesimpulan

 

    Sejak bertahun-tahun ini saya telah mengenali ramai wanita yang telah berkahwin dengan orang Muslim dan telah mendengar banyak kisah lain mengenainya. Dalam majoriti kes perkahwinan seperti ini tidak berpanjangan atau tidaklah hidup yang bahagia. Hati manusia begitu mudah mendusta; pada permulaan perhubungan kita boleh melihat perkara-perkara pada aspek luaran dan ianya nampak begitu menarik dan memukau, tetapi pada realitinya boleh merupakan satu jalan menuju kebinasaan dan duka lara. Sangat pahit rasanya apabila kita perlu menarik diri untuk melepaskan diri dari sesuatu pengalaman buruk dan menanggung perasaan kegagalan. kehampaan dan rasa kehilangan harga diri. Namun kadangkala wanita-wanita dalam keadaan itu mendapati bahawa adalah lebih baik mereka keluar dan memulakan kehidupan yang baru.

 

    Kita di Malaysia sudah pun alami kisah benar dan lagi amat menyedihkan kerana akibatnya yang telah memporak-porandakan institusi kekeluargaan yang suci itu! Apabila seorang ibu dipisahkan secara PAKSA daripada anak kandungnya sendiri (yang berumur kurang daripada lima tahun)! Dan terpaksa mengharungi 'pemulihan' iman yang cukup runcing di 'pusat-pusat pemulihan akidah' tertentu. Ini bukanlah satu pengalaman keibuannya yang wajar tetapi satu pencabulan hak asasi manusiawinya yang cukup fitrah!

 

     Dalam banyak karya-karya sastera, iktibar yang timbul daripada pilihan atau keputusan salah yang membawa kepada akibat-akibat buruk dalam hidup, misalnya kerana tindakan yang diperdayakan oleh lamunan 'perasaan menguasai pemikiran rasional' sudah lama menjadi tema yang lazim. Para wanita hendaklah berawas-awas selalu dari membuat keputusan-keputusan besar dalam hidup apabila mereka sedang melalui keadaan mabuk cinta dan dilanda tarikan seksual. Apabila wanita-wanita mengahwini lelaki-lelaki Muslim mereka mungkin berada dalam kegilaan lamunan cinta romantis sehingga mereka dihanyutkan daripada kenyataan, dan mereka kehilangan sementara keupayaan berfikir secara objektif mengenai apa akibat-akibat yang akan timbul terhadap mereka melalui perbezaan-perbezaan budaya dan agama di dalam rumahtangga itu nanti, dan juga apa kesan berat akan timbul dari masalah-masalah ini yang akan menimpa anak-anak.

 

     Wanita-wanita di barat dengan mudah sekali dapat diperdayakan sehingga mengahwini lelaki-lelaki Muslim walau pun atas matlamat "ada udang di sebalik batu" dan bukanlah untuk kebaikan atau kesejahteraan sejati wanita-wanita itu. Mereka ini mudah sekali menjadi sasaran oleh perancangan sulit untuk mengahwini mereka, dan walaupun ada wanita yang bersumpah ini tidak berlaku kepada mereka, ramai wanita yang berfikiran begitu akhirnya mendapati mereka sebenarnya tersilap. Mungkin juga terdapat pendustaan mengenai latar-belakang dan sejarah si lelaki itu. Lelaki-lelaki Muslim biasanya berkahwin sebelum mencapai umur 30 tahun, oleh itu seorang lelaki Muslim yang nampaknya bujang yang berusia lebih 30 tahun berkemungkinan sudah pun mempunyai sekurang-kurangnya seorang isteri atau merahsiakan hakikat mengenai sejarah diri. Hakikat bahawa dia mahu berkahwin secepat mungkin selepas berkenalan atau mahu berkahwin secara rahsia besar kemungkinan bermakna dia menyembunyikan sesuatu niat  terpendam dalam rancangannya untuk menikah.

 

     Jurang budaya di antara dunia barat dan Islam juga adalah sangat lebar. Ramai wanita tidak pun menyedari bahawa lelaki-lelaki Muslim mempunyai norma-norma dan kemahuan-kemahuan dalam jiwa mereka yang mereka akan dapati mustahil untuk diubah. Ramai wanita berfikir lelaki akan berubah apabila sudah berkahwin atau wanita-wanita itu akan dapat mengubah mereka, tetapi ini jarang sekali berlaku. Yang sering berlaku ialah hakikat bahawa pihak wanita juga yang akan terpaksa menyesuaikan diri dan menerima budaya suami mereka serarus peratus.

 

     Seorang wanita yang berkahwin dengan seorang Muslim tidak lagi akan dapat berkelakuan atau kebebasan dengan cara yang sama seperti wanita-wanita lain di barat, kerana seluruh hidupnya akan tertakluk kepada  prinsip “maruah atau malu”. Dia tidak mempunyai kebebasan di kalangan sahabat handainya untuk membincangkan secara terbuka  segala kesusahan dan masalahnya, kerana itu akan membawa malu kepada keluarga. Dia juga tidak dapat melakukan perbualan atau menjalin apa pun jenis persahabatan dengan mana-mana lelaki, kerana ini akan dipandang sebagai “mempunyai hubungan sulit”. Dia akan terpaksa menerima bahawa dalam mengurus keluarganya, anak-anak lelakinya adalah lebih penting daripada puteri-puteinya dan mempunyai status yang lebih tinggi dalam masyarakat Islam. Dia akan terpaksa menyedari bahawa suaminyalah yang mempunyai otoriti mutlak di dalam keluarga dan dia akan menghadapi sekatan-sekatan keras terhadap apa juga percubaannya untuk menyatakan pendapat atau pendirian. Ramai lelaki Muslim mengahwini wanita-wanita barat yang jauh lebih tua dari mereka, dan tidak dianggap luarbiasa jika perbezaan umur mereka hingga 15 tahun atau lebih. Bagaimanapun adalah dianggap tidak sesuai dalam budaya Islam jika seorang isteri lebih tua dari suaminya, dan ini dipandang serong. Seorang wanita yang menimbangkan untuk berkahwin dengan seorang lelaki Muslim yang lebih muda harus bertanya kepada dirinya sendiri, “Apakah sebabnya dia mahu mengahwini aku?”

 

     Ramai wanita tidak menyedari bahawa bila mereka mengahwini seorang Muslim adalah menjadi tradisi bagi pasangan itu pergi tinggal bersama ibubapanya di rumah mereka. Di sini dia akan terpaksa melakukan semua kerja-kerja dalam rumah dan memasak dengan pengawasan yang rapat oleh ibu mertua, dan dalam banyak keluarga si isteri akan dianggap tidak lebih dari seorang hamba abdi. Apa yang tidak pernah disebut ialah di sebilangan masyarakat Muslim, seorang suami akan mempunyai kasih sayang yang lebih terhadap ibunya daripada terhadap isterinya, dan di sinilah kepatuhan dan kesetiaannya terletak.

 

     Langkah untuk memeluk agama Islam akan mempunyai kesan dan akibat yang serius terhadap keluarga dan sahabat handai. Keluarga-keluarga mungkin akan memandang tindakan itu sebagai tindakan untuk memecah-belahkan  mereka atau meletakkan batu pemisah antara ahli-ahli keluarga. Seorang ibu mungkin akan mendapati dirinya amat susah untuk menerima seorang anak perempuan yang sudah menjadi Muslim dan memakai pakaian Islam yang "menutup segala aurat", seperti burqa dan hijab. Dia mungkin sekali akan merasa kehilangan seorang puteri kesayangannya.

 

     Kini semakin menjadi kebiasaan apabila seorang gadis mengahwini seorang lelaki Muslim dia akan memutuskan hubungannya dengan keluarga. Ia sering berlaku secara beransur-ansur dan ini mungkin menjadi petanda bahawa suasana perkahwinannya semakin buruk, atau si suami bertambah kolot dan ada banyak hal-hal lain yang mendesak. Si suami mungkin menuntut agar si isteri memakai hijab, tudung atau burqa atau dia semakin mengongkongnya di dalam rumah. Dia juga mungkin mendesak agar si isteri memutuskan hubungan dengan keluarga asalnya sama sekali. Semua ini boleh menjadi satu tekanan yang berat kepada si isteri dan keluarga asalnya yang tidak faham apa yang sedang berlaku. Pihak isteri akan hidup dalam sangat ketakutan dengan apa yang berlaku di dalam rumahtangganya dan merasa terlalu gementar untuk memberitahu sesiapa pun. Saya sendiri mengetahui kisah seorang wanita yang menderita tekanan-tekanan yang menyiksakan ini. Dia mendapati dirinya amat sukar untuk makan dan menjadi semakin kurus. Jika keadaan ini berlaku adalah bijak bagi pihak keluarga mengunjungi orang itu sewaktu siang apabila suaminya berada di tempat kerja. Adalah sangat perlu agar hubungan dan dialog dijalinkan di antara mereka.

    Akhir kata, adalah jauh lebih memanfaatkan bagi semua pihak jikalau pihak bukan-Islam dimaklumkan segala fakta-fakta serta akibat-akibat yang relevan tentang tindakannya mahu menikah dengan seorang beragama Islam, terlebih dahulu. Oleh sebab, Islam tidak mengamalkan kebebasan beragama yang sebenar atau sejati!  Islam adalah 'agama jalan sehala' atau 'one way street religion'. Tidak seperti agama-agama yang lain, seperti agama Kristian, yang tidak mengutuk, menganiaya dan 'menghentam' dengan kerasnya bekas penganut-penganutnya. Islam mengadakan larangan yang sangat keras ke atas orang Islam yang mahu meninggalkan agama itu. Menurut sunnah Islam sendiri, mereka yang keluar dari Islam harus dijatuhkan hukuman mati! Oleh itu, jika seorang wanita bukan-Islam telah diceraikan oleh suami Islamnya (dan wanita itu sudah pun masuk Islam untuk berkahwin dengannya), dan dia mahu kembali kepada agamanya yang  asal (bukan Islam), dia terpaksa mengharungi banyak sekali rintangan-rintangan dan kesusahan yang cukup pahit - seperti kehilangan anak-anaknya, kehilangan haknya atas apa-apa harta benda atau warisan pusaka daripada bekas suaminya dan kerumitan-kerumitan yang lain! Hal-hal seperti inilah HARUS diperjelaskan terlebih dahulu kepadanya.
 

.    


 

Indeks Utama