Berapakah Allahmu?

 

"Orang Kristian menyembah tiga tuhan!!" Tuduhan yang palsu lagi tidak munasabah ini sering kali ditujukan kepada orang Kristian oleh mereka yang kurang meneliti pengajaran Hazrat Isa al-Masih tentang 'Ketuhanan' yang sebenarnya. Sesungguhnya sumber dakwaan ini boleh dikesan dari Al-Quran sendiri. Di bawah adalah beberapa petikan nas-nas khusus tentang tuduhan ini:

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih anak Maryam. Katakanlah (ya Muhammad): Siapakah yang akan mempertahankan dari (azab) Allah, jika Ia hendak membinasakan Al-Masih, anak Maryam dan ibunya serta orang-orang di muka bumi semuanya? (5 Al-Maa-Idah ayat 17)

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Alla, (Tuhan) yang ketiga dari tiga. Padahal tak adalah Tuhan, kecuali Tuhan yang Esa. (5 Al-Maa-Idah ayat 73)

Ingatlah ketika Allah berfirman: Ya Isa anak Maryam, adakah engkau katakan kepada manusia: Ambillah aku dan ibuku menjadi Tuhan, selain dari pada Allah. Ia menjawab: Mahasuci Engkau (ya Allah). Tak pantas bagiku, bahawa kukatakan sesuatu, yang bukan hakku. Jika kukatakan demikian, tentu Engkau mengetahuinya. (5 Al-Maa-Idah ayat 116)

Dari ayat-ayat di atas, kita dapati bahawa Muhammad telah berpendapat bahawa orang Kristian menyembah Maryam, Isa dan Allah sebagai tiga tuhan yang berasingan. Melalui kajian buku-buku agama yang diragui kebenarannya ("Injil-injil" palsu) yang wujud di tanah Arab pada masa Nabi Muhammad, telah disahkan bahawa beliau sememangnya ada melihat penyembahan Maryam dan Isa dan telah mendengar mereka yang kurang-pendidikan berkata "Allah itu Tiga". Sedihnya, ini bukan kepercayaan mahupun kesaksian pengikut-pengikut Isa Al-Masih yang sebenar. Adalah tragis bahawa Muhammad tidak pernah berjumpa dengan seorang Kristian ortodoks yang dapat memberi keterangan bernas kepadanya tentang keesaan Allah, sambil memperkenalkan Dia sebagai Bapa, Anak dan Roh Kudus.

Untuk orang Kristian yang hidup dalam masyarakat Islam, adalah sangat penting untuk kita memiliki satu fahaman yang jelas tentang keesaan Allah (dari Alkitab) yang dapat meyakinkan orang Islam bahawa kita sememangnya menyembah satu Allah yang benar, tanpa menafikan Dia sebagai Bapa, Anak dan Roh. Petikan-petikan di bawah mungkin dapat membantu:

Dengarlah hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa! (Ulangan 6:4)

Jawab Isa kepadanya: "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu. Itulah hukum yang terutama dan yang pertama. (Matius 22:37,38)

(Kata Isa Al-Masih) Aku dan Bapa adalah satu. Sekali lagi orang-orang Yahudi mengambil batu untuk melempari Isa. Jawab orang-orang Yahudi itu: Bukan kerana suatu pekejaan baik maka kami mahu melempari Engkau, melainkan kerana Engkau menghujat Allah dan kerana Engkau, hanya seorang manusia saja, menyamakan diriMu dengan Allah." (Yohanes 10:30, 31, 33)

Isa mendekati mereka dan berkata: "KepadaKu telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. Kerana itu pergilah, jadikanlah semua bangsa muridKu dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus. (Matius 28:8,19)

Senarai ayat-ayat di atas merangkumi beberapa ayat yang sukar dalam Alkitab tentang Triniti (istilah khas yang membawa ungkapan kebenaran identiti Allah sebagai Bapa, Anak dan Roh), dan juga beberapa ayat yang secara langsung menyatakan Allah itu satu. Sememangnya ada hal-hal yang hampir mustahil untuk difahami dan diterangkan tentang Allah: Bapa, Anak dan Roh Kudus.

Didalam Kitab Injil pengikut-pengikut Isa al-Masih juga menyembah kepada hanya SATU Tuhan. Petikan berikut:

"Kamu percaya Allah itu hanya SATU. Bagus! Roh-roh jahat (iblis) pun percaya akan hal itu dan gementar…" (Yakob 2 ayat 19).


Menunjukkan bahawa umat Kristian dari permulaannya lagi telah memegang teguh kepada ajaran Tauhid atau Keesaan Tuhan. Mereka tidak berganjak daripada pegangan akidah mereka yang utama itu sehingga ke hari ini!

Alkitab sendiri mungkin mengandungi jawapan kepada subjek yang agak rumit ini. Dalam Kejadian 1:26 dan 27 ada tertulis:

Berfirmanlah Allah: "Baiklah Kita menjadikan manusia, menurut gambar dan rupa Kita . . . Maka Allah menciptakan manusia menurut gambarNya, menurut gambar Allah diciptakanNya dia; laki-laki dan perempuan diciptakanNya mereka.

Apakah mungkin dengan menganalisis diri kita sendiri (yang telah diciptakan dalam imej Allah), kita mungkin menemukan kunci tentang sifat Allah yang membingungkan ini? Saya fikir Ya. Doa berkat rasul Paulus pada penghujung Suratnya yang pertama kepada orang Kristian di Tesalonika boleh tolong menjelaskan :

Semoga Allah damai sejahtera menguduskan kamu seluruhnya dan semoga roh, jiwa dan tubuhmu terpelihara sempurna dengan tak bercacat pada kedatangan Isa Al-Masih. (1 Tesalonika 5:23)

Saya sebagai manusia adalah satu makhluk dengan satu roh, satu jiwa dan satu tubuh; Diri saya bukan tiga, 'saya' hanya satu. Dengan cara yang sama, Allah bagi umat Kristian adalah satu walaupun Dia telah menyatakan diriNya kepada manusia sebagai Bapa, Anak dan Roh Kudus. Saya bukanlah 'saya' tanpa roh, jiwa atau tubuh saya. Allah juga bukanlah Allah jika pada masa yang sama Dia bukan Bapa, Anak dan Roh. Allah adalah satu entiti yang tidak dapat dipisahkan. Bapa, Anak dan Roh Kudus berfungsi sebagai SATU – satu tujuan, satu kehendak, satu takhta, satu KerajaanNya dan satu Allah.

Berbagai andaian dan gambaran telah dicadangkan oleh orang Kristian untuk menjelaskan penyataan Allah yang unik ini. Bermula dengan idea bahawa sifat Allah adalah Kasih sayang, seorang Kristian terkenal telah cuba menerangkan Allah sebagai satu tarian kasih - seorang kekasih, seorang yang dikasihi dan kasih itu sendiri. Seorang penulis Kristian pula membayangkan Allah sebagai seorang Pelukis – Bapa sebagai minda pelukis, Anak sebagai penyataan kreativiti pelukis itu manakala Roh adalah tenaga kreatif yang memenuhi dan sedia ada untuk penggunaan pelukis itu. Adalah amat sesuai untuk menyatakan bahawa apabila membincang tentang Allah sebagai Bapa, Anak dan Roh, tidak ada cara lain untuk memahami serta menghayati Dia!

 

Apabila kita memerhatikan fahaman orang Kristian tentang Allah, kita sedar bahawa ianya kena pada tempatnya. Mereka mengenal Allah sebagai Bapa yang penyayang, Anak yang memahami dan rakan sesama manusia, dan Roh yang memberi hidup, semuanya disatukan dalam satu kesatuan kasih yang sempurna lagi indah. Allah hidup dalam RohNya, dinyatakan dalam Kalimat yang Hidup (AnakNya), dan adalah Bapa bagi kita semua yang menerima hakikat ini.

 


Indeks Utama