MESEJ KESELAMATAN

 

Saudaraku. Renungilah kata-kata saya ini:

Isa Al-Masih (seorang lelaki dari kampung Nasaret di Israel) telah diiktirafkan oleh Allah kepada kita semua melalui mukjizat dan tanda-tanda ajaib yang dilakukan oleh Allah melalui dia. Perbuatan-perbuatan luar biasa Isa Al-Masih yang dipamerkannya membuktikan bahawa Allah menyertai dan berkenan kepadanya.

Nikodemus, seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi, pernah berkata kepada Isa Al-Masih: "Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak ada seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia." (Injil Yahya 3:2)

Sesuai dengan rancanganNya, Allah telah memastikan bahawa Isa Al-Masih ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka telah membunuh dia apabila menyeru dan menyebabkan pemerintah kerajaan Roman masa itu menyalibkan dia.

Penyaliban Isa Al-Masih adalah sebahagian dari rancangan keselamatan Allah. Isa Al-Masih tahu bahawa misinya merangkumi penderitaan dan penyaliban. Dia pernah berkata kepada murid-muridnya, "Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!" (Injil Matius 16:21)

Memang benar kata-kata Isa Al-Masih. Allah sudah membangkitkan Isa Al-Masih daripada kematian. Allah sudah membebaskan dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin dia dikuasai terus oleh kematian.

Apabila beberapa wanita melawat kubur Isa Al-Masih yang didapati kosong, seorang malaikat yang berada dalam kubur itu berkata, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Isa Al-Masih orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkannya." (Markus 16:16)

Raja Daud pernah menulis tentang kebangkitan Isa Al-Masih daripada kematian. Dia menulis: Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur.(Mazmur 16:8-11) Kata-kata ini ditulis Raja Daud beratus-ratus tahun sebelum Isa Al-Masih ada di Israel!

Saya harus berterus-terang tentang Raja Daud – dia sudah meninggal, dikuburkan dan kuburnya masih ada hingga hari ini di Israel. Kalau begitu, pastilah apa yang dia tulis itu bukan tentang dirinya . Kalau bukan dia, siapakah hamba Allah yang disebutkannya itu? Saya percaya jawapannya ialah Isa Al-Masih.

Mengapa?

Allah bersumpah bahawa Dia akan mengangkat salah seorang keturunan Raja Daud menjadi raja seperti Raja Daud sendiri. Raja Daud tahu akan janji Allah itu kerana dia juga seorang nabi. Nabi Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu dia bernubuat tentang Penyelamat yang akan diutus oleh Allah. Nabi Daud berkata: Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuhnya tidak akan hancur di kubur.

Isa Al-Masih ialah dia yang telah dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Dalam sejarah manusia belum ada peribadi lain yang mati dan kemudiannya dibangkitkan hidup dan terus hidup hingga hari ini. Hanya Isa Al-Masih.

Allah bukan sahaja membangkitkan Isa Al-Masih daripada kematian tetapi Dia juga sudah mengangkat Isa Al-Masih ke tempat yang berkuasa di sebelah kananNya. Ini juga telah dinubuatkan oleh nabi Daud apabila dia menulis: Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.(Mazmur 110:1) Walaupun ada agama lain yang mengharapkan kedudukan yang tinggi ini diberikan kepada pengasas agama yang mereka anuti, Alkitab dengan jelas menyatakan bahawa kedudukan yang tertinggi di sebelah kanan Allah sudah pun diberikan kepada Isa Al-Masih.

Kini saudara sudah tahu bahawa Isa Al-Masih yang telah disalibkan ialah dia yang telah diangkat Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat manusia.

Apakah yang saudara harus lakukan?

Saudara hendaklah bertaubat daripada dosa, lalu diselamkan dalam air (dibaptis) supaya dosa-dosa saudara diampunkan. Saudara perlu bertaubat dari dosa ketidakpercayaan – tidak percaya kepada Isa Al-Masih. Dosa inilah yang akhirnya menyebabkan manusia menerima hukuman Allah. Kata Isa Al-Masih, "Sesiapa yang percaya kepada aku tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana tidak percaya kepada aku."(Injil Yahya 3:18) Sebagai bukti saudara sudah bertaubat, berilah diri saudara untuk dibaptiskan dalam air. Tindakan ini bukan hanya mengisytiharkan pertaubatan saudara tetapi juga mengesahkan pengampunan dan pembebasan saudara dari dosa dan hukuman Allah.

Sesudah itu, saudara akan menerima satu pemberian percuma dari Allah iaitu Roh Allah sendiri. Allah akan mengirimkan RohNya untuk menetap dalam diri saudara. Roh Allah akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah kepada saudara dan Dia akan membimbing saudara supaya mengetahui segala kebenaran Allah. Ini ialah janji Allah kepada saudara.

Kerana itu, selamatkanlah diri saudara daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat. Bertaubatlah dan percaya dalam Isa Al-Masih hari ini juga.


Indeks Utama