Isa mengutus tujuh puluh dua orang pengikut

10 Setelah itu Rabbi memilih tujuh puluh dua orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. 2 Dia berkata kepada mereka, "Hasil tuaian sungguh banyak tetapi penuai sedikit sahaja. Oleh itu, mintalah tuan punya tuaian supaya dia menyuruh lebih banyak penuai ke tempat tuaiannya. 3 Pergilah kamu! Aku mengutus kamu pergi seperti anak kambing ke tengah-tengah serigala. 4 Janganlah bawa dompet atau beg sedekah atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapa pun. 5 Apabila kamu memasuki sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan ‘Sejahteralah seisi rumah ini’. 6 Jikalau orang yang tinggal di rumah itu menghargai kesejahteraan, kesejahteraanmu akan tetap padanya. Jika tidak, batalkan ucapan sejahteramu itu. 7 Tinggallah di rumah yang sama, dan makan serta minum apa sahaja yang dihidangkan kerana orang yang bekerja itu layak mendapat upah. Jangan pindah dari rumah ke rumah. 8 Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan. 9 Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, ‘Kerajaan Allah telah mendekati kamu.’ 10 Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata, 11 ‘Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai amaran kepadamu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah telah mendekati kamu.’ 12 Aku berkata kepadamu bahawa pada hari pengadilan nanti, Allah akan lebih berbelas kasihan kepada penduduk Sodom daripada penduduk bandar itu.

Bandar yang tidak percaya

13 "Alangkah besar kecelakaan kamu, penduduk Korazin! Alangkah besar kecelakaan kamu, penduduk Betsaida! Jikalau mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, sudah lama penduduk di situ telah bertaubat daripada dosa mereka dengan memakai baju kabung dan menaruh abu pada kepala. 14 Allah akan lebih berbelas kasihan kepada penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu pada hari pengadilan nanti. 15 Hai penduduk Kapernaum, engkau hendak ditinggikan sampai ke langitkah? Tidak, engkau akan dicampakkan ke dalam neraka! 16 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Sesiapa yang mendengar kata-kata kamu mendengar kata-kata Aku; sesiapa yang menentang kamu menentang Aku; dan sesiapa yang menentang Aku juga menentang Allah yang mengutus Aku.

Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali

17 Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, "Ya Rabbi, demi nama-Mu segala roh jahat pun menurut perintah kami." 18 Isa berkata kepada mereka, "Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat. 19 Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu. 20 Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh jahat menurut perintahmu tetapi bersukacita kerana namamu tercatat di syurga."

Isa bersukacita

21 Pada masa itu juga, Isa bersukacita kerana dipenuhi dengan Roh Allah lalu berkata, "Ya Bapa yang memerintah langit dan bumi, Aku bersyukur kerana Engkau telah menunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar apa yang Engkau sembunyikan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, ini dilakukan kerana sedemikianlah yang berkenan kepada-Mu." 22 Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tiada sesiapa mengenal siapa Anak kecuali Bapa; dan tiada sesiapa mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang dinyatakan oleh Anak tentang Bapa."

23 Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata secara sulit, "Berbahagialah kamu yang melihat segala perkara yang kamu lihat. 24 Aku memberitahumu bahawa banyak nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak dapat melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak dapat mendengarnya.

Ibarat seorang Samaria yang baik hati

25 Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, "Guru, apakah yang patut saya buat supaya memperoleh hidup yang kekal?" 26 Isa berkata, "Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah engkau mentafsirnya?" 27 Ahli Taurat itu menjawab,

"’Engkau hendaklah mengasihi Allah, Tuhanmu dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segenap kekuatanmu dan dengan segenap akalmu serta engkau hendaklah mengasihi sesama manusia seperti dirimu.’"

28 Isa berkata kepadanya, "Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan engkau akan hidup."

29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, "Siapakah sesama manusia itu?" 30 Isa menjawab, "Ada seorang dalam perjalanan dari Baitulmuqaddis ke Jericho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati. 31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 33 Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. 34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas haiwan tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ. 35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, saya akan membayarnya apabila saya datang kembali.’" 36 Isa berkata, "Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?" 37 Ahli Taurat itu menjawab, "Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya." Isa berkata, "Pergi dan berbuatlah sedemikian."

Isa melawat Marta dan Maryam

38 Isa dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya. 39 Maryam, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Rabbi 40 tetapi Marta sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Isa dan berkata, "Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku." 41 Rabbi menjawab, "Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. 42 Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maryam telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya."