Amaran tentang kepuraan

12 Oleh sebab beribu-ribu orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Isa pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya terlebih dahulu, "Jagalah dirimu daripada ragi orang Farisi, iaitu kepuraan mereka. 2 Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan diketahui orang. 3 Kerana apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa sahaja yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan.

Takut akan Allah

4 "Aku berkata kepada kamu, hai sahabat-sahabat-Ku, janganlah kamu takut akan orang yang membunuh tubuh sahaja dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadap kamu. 5 Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti. Takutlah akan Allah yang setelah mengambil nyawamu, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!

6 "Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tiada seekor pun dilupakan oleh Allah. 7 Malahan segala rambut di kepalamu telah dihitung. Janganlah kamu takut. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung pipit itu."

Mengakui atau tidak mengakui Al Masih

8 "Aku berkata kepadamu bahawa tiap-tiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. 9 Sesiapa yang tidak mengakui Aku di hadapan manusia pun tidak akan diakui oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.

10 "Sesiapa yang mengeluarkan kata menentang Anak Manusia akan diampuni. Tetapi sesiapa yang mengeluarkan kata menentang Roh Suci tidak akan diampuni.

11 "Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis balai sembahyang atau di hadapan gabenor atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan, 12 kerana pada waktu itu Roh Suci akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan."

Ibarat orang kaya yang bodoh

13 Seorang daripada orang ramai itu berkata kepada Isa, "Guru, suruh abang saya membahagikan harta peninggalan ayah kami kepada saya." 14 Isa menjawab, "Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi harta kepada kamu?" 15 Isa terus menambah, "Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada kekayaan harta." 16 Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat, "Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak. 17 Dia berfikir dalam hatinya, ‘Apakah harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.’ 18 Dia berkata, ‘Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudang saya dan membina gudang-gudangku yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku saya yang lain. 19 Aku akan berkata kepada diriku saya, Awak mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersukarialah.’ 20 Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah engkau kumpulkan itu akan menjadi hak siapa nanti?’ 21 Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah."

Kepercayaan kepada Allah

22 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk kehidupanmu dan pakaian untuk tubuhmu. 23 Kehidupanmu tidak bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak bergantung pada pakaian sahaja. 24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai. Burung gagak tidak mempunyai gudang atau rengkiang tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu! 25 Dapatkah sesiapa antara kamu menambahkan tingginya sedikit pun dengan berfikir dan berkhuatir sahaja ? 26 Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?

27 "Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak memintal atau menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak mempunyai baju seindah bunga-bunga ini. 28 Jikalau Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi esoknya dibakar sahaja, lebih-lebih lagi Allah akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu! 29 Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati. 30 Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini. 31 Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu."

Kekayaan di syurga

32 "Janganlah takut, hai sahabat-sahabat-Ku, golongan yang kecil sahaja, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu. 33 Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu beg yang tidak akan menjadi buruk dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat. 34 Kerana di mana sahaja hartamu disimpan, di situlah hatimu akan tertumpu."

Hamba yang berjaga-jaga

35 "Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang. 36 Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta. 37 Berbahagialah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan menyuruh mereka duduk makan dan dia sendiri akan melayani mereka. 38 Jikalau tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia, berbahagialah hamba-hamba itu. 39 Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk. 40 Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Anak Manusia akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka."

Hamba yang setia dan hamba yang derhaka

41 Petrus bertanya, "Rabbi, adakah Tuan memberitahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?" 42 Rabbi menjawab, "Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya. 43 Berbahagialah hamba yang didapati oleh tuannya sedang berbuat demikian apabila tuannya pulang. 44 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan mempertanggungjawabkan hamba tersebut sebagai pengurus segala hartanya. 45 Tetapi jikalau hamba itu berfikir dalam dirinya, ‘Tuan saya pulang lewat’, lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain baik lelaki ataupun perempuan dan makan minum sehingga mabuk. 46 Maka tuannya akan pulang pada hari yang tidak disangka-sangkanya serta pada waktu yang tidak diketahuinya. Tuan itu akan mencencangnya dan menempatkannya bersama-sama dengan orang yang tidak beriman.

47 "Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak menjunjungnya, akan disebat dengan teruk. 48 Tetapi orang yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum, akan disebat dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.

Isa menyebabkan perpecahan

49 "Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku jika api itu telah menyala! 50 Aku harus mengalami penderitaan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir. 51 Pada sangkaanmu, Aku datang untuk memberikan kedamaian. Aku berkata kepadamu bukan kedamaian melainkan perpecahan! 52 Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga. 53 Bapa melawan anaknya dan anak melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya."

Memahami tanda zaman ini

54 Isa berkata kepada orang ramai itu, "Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, ‘Hari mahu hujan.’, dan begitulah berlakunya. 55 Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas terik.’, dan begitulah berlakunya. 56 Hai munafik! Kamu tahu mentafsir cuaca dengan melihat tanda di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami tanda-tanda pada zaman ini?"

Berdamailah dengan musuh

57 "Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar? 58 Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama-sama dengan orang yang mendakwa engkau, berusahalah untuk menyelesaikan perkara itu dalam perjalanan agar dia tidak mengheret engkau ke hadapan hakim dan hakim akan menyerahkan engkau kepada pegawai polis yang akan memasukkan engkau ke dalam penjara. 59 Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak dapat keluar dari situ sehingga engkau membayar denda kamu.