Komplot Menentang Isa

22 Hari Raya ‘Roti Yang Tidak Beragi’, iaitu Hari Raya Paska telah menjelang. 2 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.

Yudas bersetuju mengkhianati Isa

3 Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada dua belas pengikut Isa. 4 Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat menyerahkan Isa kepada mereka. 5 Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya. 6 Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.

Isa bersedia untuk makan jamuan Paska

7 Hari Raya ‘Roti Yang Tidak Beragi’ tiba. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska. 8 Isa menyuruh Petrus dan Yahya, "Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita." 9 Mereka bertanya kepada Isa, "Di manakah Tuan hendak kami menyediakan jamuan itu?" 10 Isa menjawab, "Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya 11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru menyuruh kami bertanya, "Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama-sama dengan pengikut-pengikut-Ku?"’ 12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu hendak menyediakan jamuan Paska." 13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.

Perjamuan Rabbi

14 Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama-sama dengan pengikut-pengikut yang dua belas itu. 15 Lalu Isa berkata kepada mereka, "Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali memakan jamuan Paska ini bersama-sama dengan kamu sebelum Aku menderita. 16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah." 17 Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, "Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. 18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang." 19 Isa pun mengambil roti dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya itu dengan berkata, "Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati Aku." 20 Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, "Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimeteraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untuk kamu.

21 Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini. 22 Anak Manusia akan mati seperti yang ditetapkan oleh Allah, tetapi alangkah besar kecelakaan orang yang mengkhianati-Nya!" 23 Mereka mula bertanya-tanya sesama diri siapa antara mereka yang berbuat demikian.

Perselisihan tentang kebesaran

24 Satu perselisihan timbul di kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. 25 Isa berkata kepada mereka, "Di dunia raja-raja berkuasa atas rakyat mereka, dan golongan pemerintah digelar ‘Pelindung Rakyat’. 26 Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar antara kamu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan ketua harus menjadi seperti hamba. 27 Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku inilah antara kamu yang melayan.

28 "Kamu bersama-sama dengan Aku dalam segala penderitaan-Ku. 29 Aku memberikan hak kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. 30 Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel."

Ramalan Isa tentang penyangkalan Petrus

31 "Simun, Simun, dengarlah! Iblis telah diberi izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam. 32 Tetapi Aku telah berdoa untuk kamu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu." 33 Petrus berkata kepada Isa, "Rabbi, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama." 34 Isa menjawab, "Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam jantan tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali."

Dompet, beg dan pedang

35 Isa berkata kepada mereka, "Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?" Mereka menjawab, "Satu pun tidak." 36 Isa berkata lagi, "Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. 37 Aku berkata kepadamu bahawa ayat Kitab Suci yang berbunyi

"‘Dia tergolong bersama-sama dengan penjahat’ itu akan berlaku kepada Aku kerana apa yang tertulis tentang Aku akan berlaku.’"

38 Pengikut-pengikut itu berkata, "Tengoklah Rabbi, di sini ada dua bilah pedang!" Isa berkata, "Cukuplah!"

Isa berdoa

39 Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama dengan Dia. 40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, "Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda oleh Iblis." 41 Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. 42 "Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan minuman ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak Aku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan." 43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. 44 Dalam keterharuan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.

45 Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih. 46 Dia berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda."

Isa ditangkap

47 Sedang Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya. 48 Isa berkata kepadanya, "Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?" 49 Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, "Rabbi, haruskah kami menyerang mereka dengan pedang kami?" 50 Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agong dan mengerat telinga kanannya. 51 Tetapi Isa berkata, "Biarkanlah mereka." Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.

52 Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi yang telah datang untuk menangkap-Nya, "Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penjahat? 53 Semasa Aku bersama-sama dengan kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan."

Petrus menyangkal Isa

54 Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agong. Petrus pun mengikut dari jauh. 55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. 56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, "Orang ini juga bersama-sama dengan Isa." 57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, "Perempuan, aku tidak mengenal Dia." 58 Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, "Engkau pun salah seorang daripada mereka itu."Tetapi Petrus menjawab, "Bukan, aku bukan!" 59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, "Tentulah orang ini juga bersama-sama dengan Isa kerana dia seorang Galilea." 60 Tetapi Petrus berkata, "Aku tidak memahami apa yang engkau katakan." Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. 61 Rabbi berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Rabbi kepadanya bahawa, "Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali." 62 Petrus pun keluar lalu menangis tersedu-sedu.

Isa diejek dan dipukul

63 Orang yang mengawal Isa mengejek-ngejek dan memukul Dia. 64 Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, "Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah telahan!" 65 Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghinakan kepada-Nya.

Isa di hadapan majlis agama

66 Pada pagi hari pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke majlis agama. Mereka berkata, 67 "Jikalau Engkau Al Masih, katakanlah kepada kami." Isa berkata kepada mereka, "Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu juga tidak percaya. 68 Dan jikalau Aku bertanyakan kamu, kamu juga tidak menjawab. 69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa." 70 Mereka semua bertanya, "Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?" Isa berkata kepada mereka, "Begitulah katamu sendiri." 71 Mereka berkata, "Apa gunanya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!"