Isa di hadapan Pilatus

23 Semua anggota majlis agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus. 2 Mereka mula menuduh Dia, "Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku Diri-Nya Al Masih, seorang raja!" 3 Pilatus bertanya kepada Isa, "Engkaukah raja orang Yahudi?" Isa menjawab, "Seperti kata tuan." 4 Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, "Saya tidak mendapati-Nya bersalah." 5 Tetapi mereka makin mendesak, "Dia menghasut orang di seluruh Judea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini."

Isa di hadapan Herodes

6 Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea. 7 Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Baitulmuqaddis. 8 Apabila Isa dibawa kepada Herodes, dia sangat sukacita. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar tentang Isa. Lagi pun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat. 9 Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun. 10 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa. 11 Herodes dan askar-askarnya menghina dan mengejek-ngejek Isa. Setelah mengenakan jubah indah-indah pada-Nya, Isa dihantar kembali kepada Pilatus. 12 Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.

Isa dijatuhi hukuman mati

13 Pilatus memanggil ketua-ketua imam, pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi dan orang ramai 14 lalu berkata kepada mereka, "Kamu telah membawa orang ini kepada aku dan mengatakan dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapan kamu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhan kamu. 15 Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati. 16 Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya." 17 Pada setiap Hari Raya Paska Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka. 18 Tetapi semua orang berteriak, "Bunuh Dia! Bebaskan Barabbas bagi kami." 19 (Barabbas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) 20 Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi. 21 Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, "Salibkan Dia! Salibkan Dia!" 22 Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, "Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat Dia dan kemudian membebaskan-Nya." 23 Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalibkan. Akhirnya, mereka berjaya. 24 Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan. 25 Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya kepada mereka untuk diperlakukan sesuka hati.

Isa disalibkan

26 Sedang askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalibkan, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simun. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya.

27 Banyak orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. 28 Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, "Kaum perempuan Baitulmuqaddis, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. 29 Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Berbahagialah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak.’ 30 Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbusi kami’. 31 Jikalaulah perbuatan begini dilakukan pada masa pokok kayu masih hijau, apatah lagi pada masa pokok itu kering?"

32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama-sama dengan Isa. 33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, "Tengkorak", mereka pun menyalibkan Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 34 Isa berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan mereka." Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. 35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara pemimpin-pemimpin masyarakat Yahudi mengejek-ngejek-Nya, "Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan Diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya Al Masih yang dipilih oleh Allah." 36 Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya 37 lalu berkata, "Jikalau Engkaulah Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu." 38 Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: "INILAH RAJA ORANG YAHUDI."

39 Seorang daripada penjahat yang disalibkan di situ mula menghina Isa. Dia berkata, "Bukankah Engkau Al Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!" 40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, "Tidakkah awak takut akan Allah? Kita semua dihukum mati. 41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa." 42 Dia berkata kepada Isa, "Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu." 43 Isa menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-sama dengan-Ku dalam kebahagiaan syurga."

Kematian Isa

44 Kira-kira pada pukul dua belas tengah hari matahari tidak bersinar dan kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pada pukul tiga petang. 45 Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terkoyak menjadi dua. 46 Isa berseru dengan suara yang kuat, "Ya bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu." Setelah Isa berkata demikian, Dia pun meninggal. 47 Ketua askar yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, "Sesungguhnya, orang ini tidak bersalah." 48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. 49 Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikuti Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

Isa dikebumikan

50 Terdapat seorang yang bernama Yusuf. Dia berasal dari kota Arimatea di negeri Judea. Dia seorang yang baik dan dihormati. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. 51 Walaupun seorang anggota majlis agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. 52 Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa. 53 Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengkapankannya lalu mengebumikannya di dalam sebuah kubur yang dipahat pada bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. 54 Hari itu ialah hari Jumaat, dan hari Sabtu hampir bermula.

55 Perempuan-perempuan yang telah mengikuti Isa dari Galilea pergi bersama-sama dengan Yusuf untuk melihat kubur itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya. 56 Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa.

Pada hari Sabtu mereka beristirahat mengikut hukum Taurat.